SEBC ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah di atas kewujudan banyak kelab motosikal di bumi Malaysia ini. Ini adalah satu perkembangan yang amat sihat dan baik kerana aktiviti berpersatuan akan melatih kita menjadi individu yang berdisiplin dan berhemah tinggi. Semua persatuan wajib dihormati kerana masing-masing ditubuhkan atas kehendak ahli serta pengikut masing-masing.
SEBC ingin mengambil kesempatan di sini untuk saling ingat-memperingati di antara satu sama lain supaya semua kepemimpinan kelab motosikal dapat mengamalkan satu budaya yang boleh dihormati. Jikalau kita mahu diri kita dihormati, maka adalah lebih perlu kita menghormati diri dan hak orang lain terlebih dahulu.
Jadilah pemimpin yang mempunyai daya kepemimpinan yang matang, berakhlak mulia serta berbudi bahasa tinggi. Janganlah menggunakan laman blog persatuan masing-masing untuk mempamerkan emosi yng tidak keruan serta sering mencerca serta mencari keburukan orang lain. Pembaca blog bukanlah semuanya mempunyai mentaliti yang rendah dan bercelaru. Apa yang kita tulis akan melambangkan keperibadian kita samada ianya buruk ataupun baik ataupun samada kita pemimpin yang bijak ataupun sebaliknya.
Apa yang penting, setiap pemimpin bagi mana-mana persatuan sekali pun akan cuba membuat yang terbaik untuk persatuan yang diwakili mereka. Dengan bahasa yang amat mudah, masing-masing persatuan, masing-masing tahulah bagaimana untuk menjaganya. Jika persatuan kita baik dan hebat, maka sudah tentulah tidak ada ahli yang akan lari menyertai persatuan lain walau atas alasan apa sekalipun.
Janganlah mengkaderkan pengikut-pengikut kita untuk menjadi agen mencerca pihak lain. Berpersatuanlah secara sihat.Perlu diingat, Malaysia adalah sebuah negara demokrasi dan setiap rakyat Malaysia mempunyai hak untuk menubuhkan apa jua persatuan asalkan ianya tidak salah di sisi undang-undang. Janganlah kita berlagak menjadi hakim dengan menentukan persatuan itu salah dan persatuan ini salah, hanya persatuan kita sahaja yang betul. Janganlah kita memandang rendah terhadap kemampuan serta kemajuan persatuan-persatuan lain. Janganlah kita menganggap persatuan kita sebagai "Lord Of Land" dan semua orang wajib bernaung di bawah persatuan kita.
Suburkanlah budaya yang sihat di kalangan ahli-ahli persatuan masing-masing. Pemimpin mempunyai reputasi dan kredibiliti tersendiri dan janganlah kita menjadi pemimpin yang berperangai seperti keanak-anakan dan asyik menunjukkan kebebalan di sana sini. Setiap pemimpin persatuan harus sentiasa bermuhasabah diri dan janganlah asyik menghisab orang lain. Kita bukannya Malaikat yang sentiasa berakhlak baik. Adakah kita pernah terfikir apakah perasaan orang yang kita hinakan di dalam tulisan blog kita? Ingatlah bahawa di dunia tidakkan tamat, di akhirat nanti kita bertemu jua. Sebelum menyindir dan memalukan pihak lain, suluhlah diri kita sepuasnya.
Kepada ahli2 SEBC, sentiasalah berpegang kepada prinsip2 yang sihat seperti sentiasa hormat-menghormati, bermurah hati, tolong-menolong, bekerja kuat, bersatu hati dan sentiasa mengejar untuk berbuat seberapa banyak kebajikan. SEBC adalah jambatan persahabatan dan platform untuk kita mengumpul seberapa banyak pahala untuk dibawa ke hari perhitungan. Peliharalah slogan kita bahawa "We Are Brothers-Kita Bersaudara" dan sentiasalah berusaha untuk mengembangkan lagi sayap SEBC ke merata-rata tempat. Cuma SEBC ingin berpesan kepada ahli2 supaya jangan sekali-kali mencampuri hal-ehwal persatuan lain dan begitulah jua sebaliknya.
Akhirnya ingatlah, hanya jauhari yang mengenal manikam. Sesungguhnya Allah bersama-sama orang-orang yang benar dan sesungguhnya Allah tidak menzalimi seseorang itu melainkan orang itu yang menzalimi dirinya sendiri.
Marilah berpersatuan secara sihat.
Salam hormat.
simple bike easy ride
"KITA BERSAUDARA-WE ARE BROTHERS"
"KITA BERSAUDARA-WE ARE BROTHERS"
No comments:
Post a Comment